Music

Thursday, 20 February 2014

TARBIYAH DARI ALLAH

 
   

     Saya cukup tersentap dengan perbualan antara saya dengan senior saya malam tadi,beliau membasahi jiwa saya dengan kalam-kalam tarbawinya.Namun kebasahan jiwa sebenarnya perlu dipandu dengan kejernihan fikrah. Iman itu sifatnya naik dan menurun,kalau di Mesir ada empat musim, jiwa manusia pula hanya ada dua musim sahaja iaitu antara basah dan kering, antara sinaran hidayah dan kegelapan jahiliyah.
 
     Pesanan beliau kepada saya adalah,kita tidak perlu terlalu bergantung pada naqib atau murobbi untuk mentarbiyah diri kita kerana mereka hanyalah wasilah tarbiyah sedangkan yang mentarbiyah diri kita sebenarnya adalah Allah S.W.T. Beliau memahamkan saya lagi dengan analogi yang diceritakannya,iaitu bagaimana Allah mentarbiyah manusia.
 
     Analoginya begini,ada seorang pekerja buruh yang ditugaskan untuk melakukan kerjanya di sebuah bangunan yang tinggi dan dia ditempatkan di tingkat yang paling atas.Namun,menjadi suatu masalah apabila pekerja ini ingin mengambil sesuatu di bawah,tentulah letih dan sia-sia jika dia turun ke bawah semata-mata untuk mengambil barang tersebut.Maka apa yang dibuat oleh si pekerja buruh ini adalah dia membaling sekeping duit syiling dari atas bangunan kepada rakannya yang berada di bawah,lalu rakannya ternampak dan mengambil syiling tersebut,tapi malangnya dia tidak memandang ke atas. Lalu si pekerja buruh ini membaling lagi sekeping syiling dan perkara yang sama juga berlaku. Rakannya itu tidak langsung memandang ke atas,bahkan hanya mengutip syiling-syiling yang jatuh sahaja sehinggalah duit syiling si pekerja buruh ini habis. Maka ketika inilah si pekerja buruh itu melontarkan seketul batu ke bawah. Tup! Batu itu tepat mengenai kepala rakannya,barulah si rakannya ini memandang ke atas.

     Bayangkan posisi rakan kepada pekerja buruh itu adalah kita(manusia),dan pekerja buruh itu adalah Tuhan kita.Saya tidak berniat untuk menyamakan Allah dengan manusia sepertimana penganut kristian menyamakan Nabi Isa a.s dengan Allah S.W.T.Sangatlah berbeza yang dicipta dengan Yang Mencipta.Maha Suci Allah,Tiada yang setanding denganNya. Tetapi inilah caranya Allah mentarbiyah manusia yang sering lalai dalam kehidupannya. Ketikamana Allah melontarkan kepada kita berbagai-bagai nikmat,kita tidak langsung bersyukur,bahkan sombong untuk menghadapkan hati kita kepada Allah. Namun apabila kita dihempap oleh Allah hanya dengan satu ujian/dugaan,ketika ini barulah kita sedar akan kelemahan diri kita, ketika ini barulah hati kita hendak menoleh kepada Allah.
 
 
     Pesan seorang ustaz,kita ini jangan jadi seperti monyet.Ketika ia berada di atas pokok lalu dilanda dengan angin taufan dan ribut kencang ia berpegang kuat pada dahan pokok itu,tidak bergerak sedikitpun pautannya. Namun apabila dibelai dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa,genggamannya longgar lalu ia tertidur dan terjatuh menyembam bumi.

     Kebanyakannya dari kita, bila ditimpa bala baru hendak berpaut pada Allah, namun bila diberi nikmat pegangan kita jadi longgar dan terpisah dari jalan Allah.. Jauhilah tabiat ini! Kerana ia membenarkan teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet(takde kaitan). :-)

     Benarlah firman Allah yang berbunyi :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُون
Maksudnya : "Dan sungguh akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) . Mereka ibarat haiwan ternakan,bahkan lebih sesat(teruk) lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
 
     Ayat ini tersangatlah jelas dan tak perlu saya syarah dan tambah lagi..

     Apa yang saya cuba bawa adalah,dalam mengikuti tarbiyah tidak perlulah kita bergantung harap 100% pada naqib/murobbi kita dalam proses pentarbiyahan diri. Ini tidak bermaksud kita perlu menjauhi dan meninggalkan mereka,jauh sekali untuk menentang sebarang arahan dan permintaan mereka. Akan tetapi kita perlulah proaktif,jangan mengharapkan murobbi bagi taujihat baru nak sedar,jangan mengharapkan naqib bagi arahan baru nak gerak. Kita sendiri perlu baca bahan-bahan tarbiyah,kita sendiri perlu tadabbur Al-Quran,kita sendiri perlu mengisi masa kosong kita dengan projek-projek yang bermanfaat, kita sendiri perlu keluar berdakwah,kita sendiri perlu mencari ilmu di merata tempat.Kerana kita yakin dalam setiap perkara ini ada tarbiyah yang diselit oleh Allah.
 
     Dan akhirnya dengan kesibukan dan keletihan kita ini,ia akan membawa kita dekat dengan Allah.Kita akan lebih merasai nikmat duduk bersama naqib,ahli usrah dan sahabat-sahabat seperjuangan dalam program/aktiviti tarbawi,kita akan lebih merasai nikmat solat berjemaah,kita akan lebih merasai nikmat makan bersama sahabat serumah,kerana itulah waktu rehat bagi kita. Di luar dari waktu-waktu itu adalah masa untuk kita berjihad di jalan Allah.Saya akhiri tulisan saya kali ini dengan kata-kata Saidina Umar Al-Khattab : 
 
“ Jika bukan kerana tiga perkara ini, dunia ini tiada apa-apa nilai bagiku :

Pertama, keindahan berada di dalam majlis ilmu.

Kedua, dapatku letakkan dahiku ke tanah untuk sujud kepada Allah SWT

Ketiga, berjuang untuk jihad fisabilillah.”

     Wallahu'alam...