Music

Saturday, 29 March 2014

Bersusah-Susahlah Di Dunia, Bersenang-Senanglah Di Akhirat

    Kali ini saya akan cuba membawa pembaca sekalian merenungi sebuah hadis :

"اخشوشنوا فإن النعم لا تدوم"

Maksudnya : " Bersusah-susahlah kalian,kerana sesungguhnya nikmat itu tidak akan kekal."

Para ulama' membincangkan tentang hadis ini dan mendapati ianya sebuah hadis dhoif dan sanadnya tidak sampai kepada Nabi S.A.W. Adapun,tidak semua ulama' mendhaifkan hadis tersebut,bahkan ada yang mensohihkannya seperti Ibn Hibban,beliau telah mengeluarkan hadis ini di dalam kitab sahihnya. Ini bermakna hadis ini tidak ditolak sepenuhnya bahkan masih boleh diamalkan,hadis ini juga tidak bertentangan dengan Al-Quran dan hadis.

Firman Allah S.W.T : 

 وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya : "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Ya akhi! Allah pasti akan menguji kita dari segala aspek kehidupan kita.Maka bersedialah dengan bersusah-susah dalam segala aspek.

Bagi si gemuk yang menikmati makanan yang mewah dan banyak setiap hari,bersusah-susahlah kalian dengan berpuasa dan sedikitnya makan. Kerana kita tidak merasai lagi betapa laparnya saudara seislam kita di Palestin,jangan ditanya ayam,ikan dan sebagainya malah sebutir nasi pun susah dicari.Jika tiada makanan mereka mengikat perut sahaja. Begitulah kehidupan mereka setiap hari,sedang engkau masih takut untuk kurus bahkan 'malu' hendak berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Bagi si pemalas yang tidur di atas tilam yang empuk,bantal yang lembut dan selimut yang tebal,bersusah-susahlah kalian dengan tidur berlapikkan lantai,berselimutkan udara yang sejuk. Kerana kita tidak merasai betapa seksanya saudara seislam kita di Syria yang tidur bertilamkan bumi,berbantalkan batu dan berselimutkan selapis kulit yang nipis. Bahkan sewaktu musim sejuk mereka tidak dibekalkan dengan baju sejuk sehingga ada yang mati kesejukan,sedang kita masih sayangkan badan untuk tidur tanpa tilam,bantal dan selimut.

Bagi si 'sotong' yang membesar dalam keadaan selesa dan tidak sanggup berjalan jauh untuk menuntut ilmu,bersusah-susahlah dengan menempuh segala halangan dan dugaan dalam menuntut ilmu,tempuhilah kehidupan yang susah dan penuh cabaran ini. Tidakkah kau sedar remaja-remaja di semenanjung Gaza,Palestin sedang membesar dengan didikan Islam yang sebenar dalam kepayahan hidup mereka dan keganasan tentera zionis laknatullah? Sedang engkau  masih bermanja-manja dengan kehidupan yang sementara ini.

Bagi setiap diri kita yang dikurniakan Allah rezeki,bersusah-susahlah dengan menginfaqkan harta di jalan Allah,gunakanlah kebanyakan harta kita untuk agama dan ummat yang tercinta ini. Kerana hakikatnya engkau adalah si miskin yang hanya mendapat rezeki dari Allah,bukan dari kerja dan usahamu itu.

Bagi yang digelar 'Khalifah' oleh Allah,kita adalah pembawa risalah Islam di atas muka bumi ini.Makmurkanlah bumi ini dengan syariat Islam bukan dengan maksiat yang jahanam. Tidakkah engkau mengetahui bahawa setiap generasi yang tidak mampu membawa risalah ini akan digantikan oleh Allah dengan generasi yang lebih baik,yang lebih cintakan Tuhannya. Jangan sesekali kita bersenang-senang dengan tugas yang diberi ini kerana kesenangan dan kerehatan itu hanya apabila kedua kaki kita sudah berada di dalam syurga.

Wahai pemuda harapan dunia! Ketahuilah akhirnya latihan ini akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam kehidupan ini. Itulah yang diperlukan oleh seorang pemegang panji risalah Islam,kerana jalan yang ditempuhi bukanlah jalan yang mudah dan ringkas seperti seorang menteri berjalan di atas karpet merah.

Firman Allah S.W.T :

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ

Maksudnya : "Kalaulah apa yang kau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang dekat dan perjalanan yang ringkas nescaya mereka akan mengikutimu,tetapi ianya jauh (dan) mereka merasa susah"

Ayat ini jelas membuktikan bahawa jalan menuju Allah ini bukanlah suatu yang mudah dan boleh dipermainkan.Ketahuilah,telah berlalunya waktu tidur dan sekarang adalah untuk kita berjuang habis-habisan.

Saya akhiri tulisan saya ini dengan sebuah hadis sohih :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ 

Maksudnya : "Syurga itu dilingkungi oleh perkara-perkara yang dibenci dan neraka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang digemari syahwat."

Wallahu'alam.. 

No comments:

Post a Comment