Ramadhan
bulan yang dirindui, ia suatu bulan yang sangat istimewa namun hanya bertandang
setahun sekali. Di dalamnya
terhimpun segala keistimewaan yang tidak terdapat di bulan lain, ia ibarat
seorang sahabat karib yang kita rindui kerana ia sangat istimewa dan sudah lama
tidak bersua. Ramadhan bulan yang dinanti-nantikan kehadirannya dan ditangisi
pemergiannya. Mana tidaknya, selepas sahaja berlalu sebulan ini kita akan
mengharungi 11 bulan yang tiada padanya tawaran yang sangat hebat dari Allah
S.W.T. bahkan dilepaskan syaitan-syaitan dari dibelenggu sepanjang bulan
Ramadhan. Ketika inilah kita merasa rindu kepadanya dan merasakan keperluan
untuk bersungguh-sungguh dalam mengumpul bekalan sepanjang bulan mulia ini demi
menghadapi 11 bulan yang cukup mencabar diri. Amatlah rugi bagi sesiapa yang
menjadi hamba Ramadhan kerana ia hanya sementara, beruntunglah bagi sesiapa
yang menjadi hamba Ilahi kerana ia kekal abadi. Pepatah arab berbunyi :
"كن ربانيون ولا تكن رمضنيون"
“Jadilah kamu rabbaniyyun
(hamba Allah) dan jangan kamu jadi Ramadhaniyyun (hamba Ramadhan)”
Tujuan Ramadhan dihadirkan bukanlah untuk kita
beramal dengan semaksima mungkin di dalamnya sahaja, bahkan ianya dihadirkan
untuk memberi kita peluang mengutip segala bekalan dan kekuatan untuk menempuh
11 bulan perjalanan yang mencabar, perjalanan yang diiringi oleh syaitan dan
hawa nafsu, didampingi kelesuan dan kemalasan, dihiasi dengan kemewahan dan
kesenangan. Maka sia-sialah orang yang menjadi Ustaz di dalam Ramadhan dan
menjadi Ganaz selepas Ramadhan, tak ubah seperti seekor singa yang dikurung di
dalam sangkar kemudian dilepaskan dalam keadaan lapar dan akan mencari
mangsanya dengan rakus sekali.
Apakah jenis keganasan orang-orang seperti ini? Antaranya
ialah, meng’qada’ kelaparan mereka sepanjang bulan puasa di pagi Aidilfitri,
menyambung kembali talaqqi mereka dengan Syeikh PS3 dan Habib Al-Movie, meneruskan
kembali siri-siri pengembaraan mereka di alam mimpi, menghubungkan kembali tulang
rusuknya yang telah patah dibantai oleh Ramadhan, dan macam-macam lagi jenis
keganasan yang ada. Maka orang-orang yang sebegini telah menghancurkan binaan
taqwa dalam hati mereka. Jadilah ia seperti debu yang berterbangan.
Rasulullah S.A.W bersabda :
"رب صائم ليس له حظ من صومه إلا جوع والعطش"
“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat suatu apapun dari
puasanya kecuali lapar dan dahaga..”
Bayangkan sebulan kita berpuasa, berpenat lelah dalam kepanasan cuaca
namun tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Betapa sia-sianya waktu
dan tenaga kita menghabisi sisa-sisa umur dengan perkara yang tidak memberi
manfaat kepada kita.
Seterusnya, Ramadhan merupakan bulan Al-Quran dan
ketakwaan. Padanya diturunkan Al-Quran bahkan kitab-kitab samawi (yang diturunkan
oleh Allah) yang lain juga diturunkan pada bulan Ramadhan. Mengapa saya ikat
perkataan Ramadhan,Al-Quran dan ketakwaan? Mari kita lihat kembali beberapa
ayat suci Al-Quran :
"شهر
رمضان الذي أنزل فيه القرأن هدى للناس و بينات من الهدى والفرقان۔۔"
“Bulan
Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan perbezaan (antara yang benar dan salah)..”
Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran kerana diturunkan padanya Al-Quran
yang menjadi petunjuk bagi manusia. Tidak bermakna Al-Quran hanya dibaca pada
bulan Ramadhan sahaja, tetapi Al-Quran diturunkan dalam bulan ini untuk menjadi
petunjuk dan pemisah antara kebenaran dan kebatilan dalam kehidupan kita
selepas melepasi madrasah Ramadhan ini. Istimewanya Ramadhan adalah kerana
perkara ini, maka apakah istimewanya seseorang itu jika dia tidak berusaha
untuk menurunkan Al-Quran di dalam hatinya untuk menjadi bekalan kehidupan?
Hanya mengharap Ramadhan yang akan menyucikan dirinya, yang akan membuang
segala dosa-dosanya dan akan menjadikan dirinya seorang hamba yang bertaqwa, mengharapkan
magik dan keajaiban berlaku dalam kehidupannya.
Firman Allah S.W.T :
“"يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من
قبلكم لعلكم تتقون
“Wahai orang-orang
yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas
orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa”
Dalam ayat ini Allah
S.W.T mewajibkan orang-orang yang beriman supaya berpuasa di bulan Ramadhan
kerana dengan berpuasa ia mampu meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.
Bahkan puasa mampu melemahkan dan memecahkan nafsu syahwat seseorang. Alangkah
ruginya mereka yang tidak memahami akan nilai sebenar ibadah puasa. Kerana
mereka akan meniggalkannya sekiranya ia bukan suatu kewajipan yang ditetapkan
oleh Allah. Mereka tidak bergembira dengan kehadiran Ramadhan bahkan meraikan hawa
nafsu mereka sesudah dilepaskan dari ‘belenggu’ Ramadhan. Sungguh manusia itu
mudah tertipu.
Dua ayat di atas sudah
cukup menjelaskan kepada kita bahawa Ramadhan sangat berkait rapat dengan
Al-Quran dan ketakwaan. Bahkan dua perkara itu (Al-Quran & Taqwa) diikat
pada firman Allah S.W.T :
"ذلك
الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين"
“Itulah
kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
bertaqwa..”
Al-Quran itu sifatnya
sentiasa memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa, tidak lain tidak
bukan adalah kerana orang-orang yang bertaqwa itu sentiasa melazimi Al-Quran setiap
masa dan dimanapun mereka berada. Taqwanya tidak bermusimkan Ramadhan,
ibadahnya tidak bertuhankan Ramadhan, bagi mereka Ramadhan hanyalah wasilah
untuk mendapat keredhaan Allah dan keampunanNya serta pelepasan dari azab api
neraka. Ianya suatu bonus dan hadiah dari Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya yang
telah berpenat lelah selama 11 bulan bertarung dengan syaitan dan nafsu dan
sebagai bekalan untuk menempuh 11 bulan yang akan datang.
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment