Music

Wednesday, 15 March 2017

Puisi - Sang Mentari


Pernah terbit satu waktu,
Umat ini bagaikan mentari,
Megah dan tinggi di ufuk langit,
Menyinari seluruh buana ini,

Lorong-lorong gelap menjadi terang,
Denai yang sempit membuka laluan,
Lembah-lembah gunung tidak mampu bersembunyi,
Sinarnya merayap segenap ruang bumi,

Alangkah hebat peribadi Nabi,
Menyuluh harapan di kala kegelapan,
Kilauan cahaya Khandaq itu,
Masih menyilaukan mata dunia,

Bumi Syam menjadi saksi,
Istana merahnya disuluh cahaya iman,
Penduduk Parsi bersenang hati,
Istana putih dinaungi keadilan,
Pembesar-pembesar Yaman merasa aman,
Gerbang Sana’a dihembus angin rahmat,

Bahtera dakwah terus berlayar,
Dikemudi generasi demi generasi,
Meredah ombak kekufuran,
Membelah taufan kejahilan,

Gegak gempita meriam Al-Fateh,
Masih bergema di langit sejarah,
Gemuruh kota Konstantin tatkala mendengar
Kapal-kapalnya berlayar merentas gunung,

Gemercik pedang tentera Salahuddin,
Masih hangat di ufuk sirah,
Luluh jiwa sang perampas,
Bila fajar Al-Quds terbit bersama ribuan tentera Muhammad,

Sungguh ajaib waktu itu,
Dunia tidak pernah mengenal cahaya seperti ini,
Menembusi tembok-tembok kejahilan,
Menundukkan sekalian mahligai keangkuhan,

Kalau ditanya siapakah pewaris mereka,
Kitalah orangnya,
Kalau dicari di mana penyambung risalah,
Di sinilah orangnya,

Jangan ditanya pada yang berjiwa kecil,
Kerna mereka tak mengerti makna juang,
Jangan dicari yang lemah lesu,
Kerna kamus hidupnya tidak mengenal harapan,

Tanyalah pada pemilik tubuh yang berjiwa besar,
Kerna mereka hidup bersama dakwah,
Cita dan impian dakwah,
Seperti itu jugalah cita dan impian mereka,

Ya, dakwah adalah kehidupan,
Ia bukan masa lebihan,
Bukan jua kerja sampingan,
Yang diisi bila ada kekosongan,

Dalam setiap derap langkah,
Dan seluruh tenaga yang dikerah,
Kita mengejar impian yang besar,
Impian pemilik azimah yang tinggi,

Bahtera dakwah tidak akan berlayar,
Jika sauh nafsu masih terpaut,
Layar dakwah tidak akan berlabuh,
Kalau masih dijerut kemalasan,

Lepaskan semua itu!
Dan berlayarlah dengan arus kehendak Tuhan,

Jadilah seperti alam,
Sentiasa bergerak, berkembang, mengalir,
Tidak kaku walau malam bertamu,
Tidak lesu walau halangannya beribu,

Orkestra alam yang memainkan simfoni ketaatan,
Menuntut kita untuk turut mengikut rentak,
Menghayun langkah,
Dan turut bergerak,

Kalau hujan berarak menghidupkan tumbuhan,
Daie itu berjalan menghidupkan hati,
Kalau hadirnya bulan menerangi malam,
Daie itu muncul menyinari dunia,

Tidak dibiar walau seinci tanah,
Tanpa ada sinaran hidayah,
Tidak dilepas walau satu jiwa,
Hidup kosong tanpa arah,

Seperti itulah pejuang dakwah,
Menyerah segenap ruang masa dan diri,
Menyeru manusia kepada Allah,
Memasyarakatkan agenda dakwah.

Ibrah Surah Al-Qalam (Al-Wala’ Wal Bara’)


                Surah Al-Qalam merupakan salah satu surah yang berada di dalam juzuk 29. Juzuk 29 dan 30 pula merupakan dua juzuk Al-Quran yang terkandung di dalamnya nilai-nilai aqidah, semua surah di dalam juzuk ini adalah surah Makkiyah. Dan surah Makkiyah okjektifnya hanya satu, iaitu memasakkan aqidah dalam hati orang-orang yang beriman.

                Dalam surah Al-Qalam, Allah SWT menceritakan tentang golongan kafir yang cuba untuk mencari jalan tengah antara mereka dan Rasulullah. Mereka cuba untuk berunding dengan Baginda seperti mereka berunding dengan pelanggan ketika berniaga, sedangkan aqidah dan perniagaan adalah dua benda yang sangat berbeza. Orang yang berpegang dengan suatu aqidah dia tidak boleh untuk meninggalkan walau sedikit daripada kepercayaannya itu, kerana perkara kecil dalam aqidah adalah sama dengan perkara yang besar, bahkan sebenarnya tiada istilah perkara besar atau kecil dalam isu aqidah, kerana ia adalah hakikat yang satu dan lengkap.

                Hakikat yang semua umat Islam perlu fahami adalah bahawa agama Islam ini tidak mungkin akan bertemu dengan jahiliyyah, tidak pada permulaan jalannya, tidak juga di pertengahannya, tidak juga di penghujungya. Begitulah keadaannya di setiap masa dan di mana-mana jua. Jalan yang berbeza menghasilkan penghujung yang berbeza. Agama Islam penghujungnya syurga, manakala jahiliyyah pula berhulukan neraka.

                Para pemuka Quraisy cuba mencari jalan tengah di antara mereka dan Rasulullah agar Baginda tidak lagi mencela tuhan-tuhan mereka, ini kerana mereka ingin menjaga air muka dan maruah mereka sebagai pemimpin Quraisy di hadapan pemuka-pemuka kaum arab yang lain. Namun Rasulullah SAW dengan kerasnya menolak permintaan mereka tersebut, kerana Baginda faham hakikat pertembungan antara Islam dan jahiliyyah. Ia adalah hakikat yang terpahat sejak Allah menciptakan Nabi Adam a.s. Sampai satu tahap Rasulullah pernah berkata kepada pakciknya Abu Thalib : “Wahai pakcik, demi Allah sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meniggalkannya sehinggalah Allah memenangkan (agama ini) atau aku mati di atasnya”. Begitulah tegasnya Baginda SAW ketika berurusan dalam isu aqidah.

                Hakikat ini telah dilupai oleh kebanyakan muslim pada hari ini. Mereka tidak faham bahawa perkara ini adalah asas dalam aqidah. Bahkan hari ini, orang muslim pula yang mengajukan jalan tengah kepada orang-orang kafir, dengan alasan tidak mahu melukai hati mad’u mereka. Orang-orang sebegini mereka tidak mampu membezakan antara prinsip dan taamul. Hasilnya, lahirlah muslim yang membela nasib orang kafir melebihi nasib umat Islam dan agama Islam sendiri. Mereka sanggup berkasar sesama muslim dan berlemah-lembut apabila bertaamul dengan orang kafir yang memusuhi Islam. Perkara ini sangat bertentangan dengan sifat orang-orang mukmin yang Allah sifatkan di dalam Al-Quran. Sungguh orang-orang Islam itu tidak pernah sama tarafnya dengan orang-orang kafir.


Wallahualam..