Surah
Al-Qalam merupakan salah satu surah yang berada di dalam juzuk 29. Juzuk 29 dan
30 pula merupakan dua juzuk Al-Quran yang terkandung di dalamnya nilai-nilai aqidah,
semua surah di dalam juzuk ini adalah surah Makkiyah. Dan surah Makkiyah
okjektifnya hanya satu, iaitu memasakkan aqidah dalam hati orang-orang yang
beriman.
Dalam
surah Al-Qalam, Allah SWT menceritakan tentang golongan kafir yang cuba untuk
mencari jalan tengah antara mereka dan Rasulullah. Mereka cuba untuk
berunding dengan Baginda seperti mereka berunding dengan pelanggan ketika
berniaga, sedangkan aqidah dan perniagaan adalah dua benda yang sangat
berbeza. Orang yang berpegang dengan suatu aqidah dia tidak boleh untuk
meninggalkan walau sedikit daripada kepercayaannya itu, kerana perkara kecil
dalam aqidah adalah sama dengan perkara yang besar, bahkan sebenarnya tiada
istilah perkara besar atau kecil dalam isu aqidah, kerana ia adalah hakikat
yang satu dan lengkap.
Hakikat
yang semua umat Islam perlu fahami adalah bahawa agama Islam ini tidak mungkin
akan bertemu dengan jahiliyyah, tidak pada permulaan jalannya, tidak juga di
pertengahannya, tidak juga di penghujungya. Begitulah keadaannya di setiap masa
dan di mana-mana jua. Jalan yang berbeza menghasilkan penghujung yang berbeza.
Agama Islam penghujungnya syurga, manakala jahiliyyah pula berhulukan neraka.
Para
pemuka Quraisy cuba mencari jalan tengah di antara mereka dan Rasulullah agar
Baginda tidak lagi mencela tuhan-tuhan mereka, ini kerana mereka ingin menjaga
air muka dan maruah mereka sebagai pemimpin Quraisy di hadapan pemuka-pemuka
kaum arab yang lain. Namun Rasulullah SAW dengan kerasnya menolak permintaan
mereka tersebut, kerana Baginda faham hakikat pertembungan antara Islam dan jahiliyyah.
Ia adalah hakikat yang terpahat sejak Allah menciptakan Nabi Adam a.s. Sampai
satu tahap Rasulullah pernah berkata kepada pakciknya Abu Thalib : “Wahai
pakcik, demi Allah sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan
bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak
akan meniggalkannya sehinggalah Allah memenangkan (agama ini) atau aku mati di
atasnya”. Begitulah tegasnya Baginda SAW ketika berurusan dalam isu aqidah.
Hakikat
ini telah dilupai oleh kebanyakan muslim pada hari ini. Mereka tidak faham
bahawa perkara ini adalah asas dalam aqidah. Bahkan hari ini, orang muslim pula
yang mengajukan jalan tengah kepada orang-orang kafir, dengan alasan tidak mahu
melukai hati mad’u mereka. Orang-orang sebegini mereka tidak mampu membezakan
antara prinsip dan taamul. Hasilnya, lahirlah muslim yang membela nasib orang
kafir melebihi nasib umat Islam dan agama Islam sendiri. Mereka sanggup berkasar sesama muslim dan
berlemah-lembut apabila bertaamul dengan orang kafir yang memusuhi Islam.
Perkara ini sangat bertentangan dengan sifat orang-orang mukmin yang Allah
sifatkan di dalam Al-Quran. Sungguh orang-orang Islam itu tidak pernah sama
tarafnya dengan orang-orang kafir.
Wallahualam..
No comments:
Post a Comment