Music

Sunday, 30 November 2014

Aqidah Seorang Muslim


Seorang yang bergelar muslim sudah tentu hatinya beriman kepada Allah, mustahil lidahnya tidak mengakui keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Sudah pasti dia meyakini dengan risalah Baginda S.A.W. Maka, dengan keimanan yang sebegini ia akan membawa seorang muslim itu untuk taat dan patuh kepada segala perintah Allah dan Rasulullah dengan penuh kerelaan hati dan tanpa rasa berat dan malas. Inilah aqidah seorang muslim, inilah juga kepercayaan masyarakat melayu islam di Tanah Melayu suatu masa dahulu.

Namun masa pantas berlalu, zaman semakin maju, musuh-musuh Islam mula melancarkan serangan ke daerah melayu kerana dilihatnya orang-orang melayu ini amat kuat berpegang dengan agama Islam, perkara ini menjadikan mereka tidak senang duduk. Benarlah firman Allah S.W.T :

Dan orang-orang yahudi dan nasrani (kristian) tidak akan sesekali redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka” –Al Baqarah, ayat 120-

            Hasilnya, pada hari ini kita boleh lihat beberapa kelompok umat Islam di Malaysia yang aqidahnya sudah terpesong. Orang-orang melayu islam sudah ada yang menganut syiah, ada yang menyembah Ayah Pin, ada yang mengaku nabi dan bermacam-macam lagi projek pemesongan aqidah. Bagi sesiapa yang hatinya suci dan jiwanya sensitif, perkara ini merupakan satu kerisauan yang amat besar baginya kerana ia bakal mengundang bala yang besar kepada umat ini. Sebuah bangsa yang dahulunya menjadi pendokong kuat kepada kerajaan Islam Uthmaniyyah kini mula tunduk pada musuh-musuhnya, sudah tentu ada balasannya jika berterusan begini.

            Itulah sebahagian masalah aqidah yang menimpa umat melayu islam di Malaysia ketika ini, aqidah yang jelas terpesong dan sesat. Namun di sana, ada beberapa masalah aqidah yang tidaklah membawa kepada kekafiran namun ia menjadikan aqidah seseorang itu sedikit cacat. Masalah ini berlaku apabila seseorang muslim itu tidak faham prinsip Islam dengan sebenar-benarnya, sedangkan umat islam dahulu sangat mengambil berat tentang perkara ini. Itulah wala’ dan bara’ yang menjadi konsep aqidah yang penting dalam Islam.

            Punca berlakunya fenomena kafir-mengkafirkan dalam kalangan orang-orang Islam di Malaysia adalah kerana mereka tidak faham tentang konsep wala’ dan bara’ ini. Mereka sangka semua orang Islam yang tidak bersetuju dengan mereka adalah kafir kerana mereka adalah pembawa risalah Islam yang sebenar. Mereka sangka mereka boleh berkawan dengan orang kafir sesuka hati tanpa menjaga had dan batas-batas syariat dalam Islam sehingga sanggup membuat satu pakatan sesama mereka hanya untuk menjatuhkan orang-orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka sangat berkeras dan tidak bertolak ansur sesama muslim sedang mereka berlemah lembut dengan orang-orang kafir dengan alasan ingin berdakwah. Sifat-sifat sebegini bertentangan dengan ayat Allah S.W.T dalam surah Al-Fath, ayat 29 :

“Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir serta bersikap kasih sayang sesama mereka (umat Islam)..”

            Maka di sini saya berikan sedikit penjelasan tentang konsep wala’ dan bara’ agar kita faham dan jelas bagaimana untuk memberi respon terhadap berbagai jenis manusia yang ada di muka bumi ini.

Wala’ bermaksud dekat, kasih-sayang, memberi pertolongan dan mengikut. Ia bertentangan dengan sifat permusuhan. Sifat wala’ ini hanyalah diberi kepada Allah, Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 55 :

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, seta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka tunduk (kepada Allah).”

Maka wajib bagi kita untuk mendekati, berkasih sayang serta menolong orang-orang yang beriman kerana ini adalah aqidah seorang muslim. Jika ada orang beriman yang membuat kesalahan maka wajib untuk kita tegur mereka atas dasar kasih sayang dan ingin menolong mereka dari diazab di akhirat.

Dari Anas r.a beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda : “Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi”. Mereka bertanya : “Wahai Rasulullah, kami faham bagaimana menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong orang yang zalim?”. Baginda bersabda : “Engkau pegang tangannya(agar tidak berbuat zalim).” –Hadis Sohih, Riwayat Bukhari-

Manakala Bara’ pula bermaksud marah, menjauhi, berlepas diri. Sifat ini pula hanya diberikan kepada orang-orang yang mensyirikkan Allah, orang-orang kafir serta munafiq (berpura-pura Islam) kerana mereka inilah orang-orang yang menentang Allah, Rasul-Nya, para sahabat serta orang-orang yang beriman. Firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran, ayat 28 :

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir sebagai teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”

Maka jelas di sini bahawa kita perlu berlepas diri serta merasa marah terhadap perbuatan syirik mereka. Kita perlu menjauhi mereka, tetapi ini tidak bermaksud kita tidak boleh berkawan dengan mereka. Maksudnya di sini adalah kita tidak boleh terlalu rapat dengan orang-orang yang menentang risalah Allah ini sehingga kita cair hati dengan mereka lalu mengakibatkan kita menjauhi orang-orang yang beriman. Ini hukumnya haram, kerana jelas terdapat dalil dari Al-Quran yang melarang.

Syeikh Ibn Uthaimin pula menafsirkan bara’ ini dengan maksud kita berlepas diri dari segala perkara yang Allah berlepas diri darinya. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 4 :

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka:"Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya.”

Firman Allah lagi dalam surah Al-Hujurat, ayat 7 :

Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman
itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekefiran, kefasikan
dan kedurhakaan.Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.”

Cukup jelas dalil-dalil dari Al-Quran tentang konsep aqidah ini. Inilah aqidah serta sifat seorang muslim yang sepatutnya tersemat dalam diri setiap orang Islam di Malaysia. Inilah yang Rasulullah S.A.W ajarkan kepada para sahabat dan mereka mempraktikkan ajaran ini sehingga ianya dicatatkan di dalam ayat Al-Quran, dalam surah Al-Fath, ayat 29 :

“Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir serta bersikap kasih sayang sesama mereka (umat Islam)..”

Ayat yang mudah difahami, contoh dari para sahabat yang tercatat di dalam Al-Quran. Apakah kita mampu menolaknya?
Wallahu’alam.

Wednesday, 11 June 2014

Nilai Sebenar Ramadhan


                Ramadhan bulan yang dirindui, ia suatu bulan yang sangat istimewa namun hanya bertandang setahun sekali. Di dalamnya terhimpun segala keistimewaan yang tidak terdapat di bulan lain, ia ibarat seorang sahabat karib yang kita rindui kerana ia sangat istimewa dan sudah lama tidak bersua. Ramadhan bulan yang dinanti-nantikan kehadirannya dan ditangisi pemergiannya. Mana tidaknya, selepas sahaja berlalu sebulan ini kita akan mengharungi 11 bulan yang tiada padanya tawaran yang sangat hebat dari Allah S.W.T. bahkan dilepaskan syaitan-syaitan dari dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan. Ketika inilah kita merasa rindu kepadanya dan merasakan keperluan untuk bersungguh-sungguh dalam mengumpul bekalan sepanjang bulan mulia ini demi menghadapi 11 bulan yang cukup mencabar diri. Amatlah rugi bagi sesiapa yang menjadi hamba Ramadhan kerana ia hanya sementara, beruntunglah bagi sesiapa yang menjadi hamba Ilahi kerana ia kekal abadi. Pepatah arab berbunyi :

"كن ربانيون ولا تكن رمضنيون"

“Jadilah kamu rabbaniyyun (hamba Allah) dan jangan kamu jadi Ramadhaniyyun (hamba Ramadhan)”

Tujuan Ramadhan dihadirkan bukanlah untuk kita beramal dengan semaksima mungkin di dalamnya sahaja, bahkan ianya dihadirkan untuk memberi kita peluang mengutip segala bekalan dan kekuatan untuk menempuh 11 bulan perjalanan yang mencabar, perjalanan yang diiringi oleh syaitan dan hawa nafsu, didampingi kelesuan dan kemalasan, dihiasi dengan kemewahan dan kesenangan. Maka sia-sialah orang yang menjadi Ustaz di dalam Ramadhan dan menjadi Ganaz selepas Ramadhan, tak ubah seperti seekor singa yang dikurung di dalam sangkar kemudian dilepaskan dalam keadaan lapar dan akan mencari mangsanya dengan rakus sekali.

Apakah jenis keganasan orang-orang seperti ini? Antaranya ialah, meng’qada’ kelaparan mereka sepanjang bulan puasa di pagi Aidilfitri, menyambung kembali talaqqi mereka dengan Syeikh PS3 dan Habib Al-Movie, meneruskan kembali siri-siri pengembaraan mereka di alam mimpi, menghubungkan kembali tulang rusuknya yang telah patah dibantai oleh Ramadhan, dan macam-macam lagi jenis keganasan yang ada. Maka orang-orang yang sebegini telah menghancurkan binaan taqwa dalam hati mereka. Jadilah ia seperti debu yang berterbangan.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"رب صائم ليس له حظ من صومه إلا جوع والعطش"

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat suatu apapun dari puasanya kecuali lapar dan dahaga..”

Bayangkan sebulan kita berpuasa, berpenat lelah dalam kepanasan cuaca namun tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Betapa sia-sianya waktu dan tenaga kita menghabisi sisa-sisa umur dengan perkara yang tidak memberi manfaat kepada kita.

Seterusnya, Ramadhan merupakan bulan Al-Quran dan ketakwaan. Padanya diturunkan Al-Quran bahkan kitab-kitab samawi (yang diturunkan oleh Allah) yang lain juga diturunkan pada bulan Ramadhan. Mengapa saya ikat perkataan Ramadhan,Al-Quran dan ketakwaan? Mari kita lihat kembali beberapa ayat suci Al-Quran :

"شهر رمضان الذي أنزل فيه القرأن هدى للناس و بينات من الهدى والفرقان۔۔"

“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan salah)..”

Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran kerana diturunkan padanya Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia. Tidak bermakna Al-Quran hanya dibaca pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi Al-Quran diturunkan dalam bulan ini untuk menjadi petunjuk dan pemisah antara kebenaran dan kebatilan dalam kehidupan kita selepas melepasi madrasah Ramadhan ini. Istimewanya Ramadhan adalah kerana perkara ini, maka apakah istimewanya seseorang itu jika dia tidak berusaha untuk menurunkan Al-Quran di dalam hatinya untuk menjadi bekalan kehidupan? Hanya mengharap Ramadhan yang akan menyucikan dirinya, yang akan membuang segala dosa-dosanya dan akan menjadikan dirinya seorang hamba yang bertaqwa, mengharapkan magik dan keajaiban berlaku dalam kehidupannya.

Firman Allah S.W.T :

"يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa

Dalam ayat ini Allah S.W.T mewajibkan orang-orang yang beriman supaya berpuasa di bulan Ramadhan kerana dengan berpuasa ia mampu meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Bahkan puasa mampu melemahkan dan memecahkan nafsu syahwat seseorang. Alangkah ruginya mereka yang tidak memahami akan nilai sebenar ibadah puasa. Kerana mereka akan meniggalkannya sekiranya ia bukan suatu kewajipan yang ditetapkan oleh Allah. Mereka tidak bergembira dengan kehadiran Ramadhan bahkan meraikan hawa nafsu mereka sesudah dilepaskan dari ‘belenggu’ Ramadhan. Sungguh manusia itu mudah tertipu.

Dua ayat di atas sudah cukup menjelaskan kepada kita bahawa Ramadhan sangat berkait rapat dengan Al-Quran dan ketakwaan. Bahkan dua perkara itu (Al-Quran & Taqwa) diikat pada firman Allah S.W.T :

"ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين"

“Itulah kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa..”

Al-Quran itu sifatnya sentiasa memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa, tidak lain tidak bukan adalah kerana orang-orang yang bertaqwa itu sentiasa melazimi Al-Quran setiap masa dan dimanapun mereka berada. Taqwanya tidak bermusimkan Ramadhan, ibadahnya tidak bertuhankan Ramadhan, bagi mereka Ramadhan hanyalah wasilah untuk mendapat keredhaan Allah dan keampunanNya serta pelepasan dari azab api neraka. Ianya suatu bonus dan hadiah dari Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya yang telah berpenat lelah selama 11 bulan bertarung dengan syaitan dan nafsu dan sebagai bekalan untuk menempuh 11 bulan yang akan datang.


Wallahu’alam

Saturday, 29 March 2014

Bersusah-Susahlah Di Dunia, Bersenang-Senanglah Di Akhirat

    Kali ini saya akan cuba membawa pembaca sekalian merenungi sebuah hadis :

"اخشوشنوا فإن النعم لا تدوم"

Maksudnya : " Bersusah-susahlah kalian,kerana sesungguhnya nikmat itu tidak akan kekal."

Para ulama' membincangkan tentang hadis ini dan mendapati ianya sebuah hadis dhoif dan sanadnya tidak sampai kepada Nabi S.A.W. Adapun,tidak semua ulama' mendhaifkan hadis tersebut,bahkan ada yang mensohihkannya seperti Ibn Hibban,beliau telah mengeluarkan hadis ini di dalam kitab sahihnya. Ini bermakna hadis ini tidak ditolak sepenuhnya bahkan masih boleh diamalkan,hadis ini juga tidak bertentangan dengan Al-Quran dan hadis.

Firman Allah S.W.T : 

 وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya : "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Ya akhi! Allah pasti akan menguji kita dari segala aspek kehidupan kita.Maka bersedialah dengan bersusah-susah dalam segala aspek.

Bagi si gemuk yang menikmati makanan yang mewah dan banyak setiap hari,bersusah-susahlah kalian dengan berpuasa dan sedikitnya makan. Kerana kita tidak merasai lagi betapa laparnya saudara seislam kita di Palestin,jangan ditanya ayam,ikan dan sebagainya malah sebutir nasi pun susah dicari.Jika tiada makanan mereka mengikat perut sahaja. Begitulah kehidupan mereka setiap hari,sedang engkau masih takut untuk kurus bahkan 'malu' hendak berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Bagi si pemalas yang tidur di atas tilam yang empuk,bantal yang lembut dan selimut yang tebal,bersusah-susahlah kalian dengan tidur berlapikkan lantai,berselimutkan udara yang sejuk. Kerana kita tidak merasai betapa seksanya saudara seislam kita di Syria yang tidur bertilamkan bumi,berbantalkan batu dan berselimutkan selapis kulit yang nipis. Bahkan sewaktu musim sejuk mereka tidak dibekalkan dengan baju sejuk sehingga ada yang mati kesejukan,sedang kita masih sayangkan badan untuk tidur tanpa tilam,bantal dan selimut.

Bagi si 'sotong' yang membesar dalam keadaan selesa dan tidak sanggup berjalan jauh untuk menuntut ilmu,bersusah-susahlah dengan menempuh segala halangan dan dugaan dalam menuntut ilmu,tempuhilah kehidupan yang susah dan penuh cabaran ini. Tidakkah kau sedar remaja-remaja di semenanjung Gaza,Palestin sedang membesar dengan didikan Islam yang sebenar dalam kepayahan hidup mereka dan keganasan tentera zionis laknatullah? Sedang engkau  masih bermanja-manja dengan kehidupan yang sementara ini.

Bagi setiap diri kita yang dikurniakan Allah rezeki,bersusah-susahlah dengan menginfaqkan harta di jalan Allah,gunakanlah kebanyakan harta kita untuk agama dan ummat yang tercinta ini. Kerana hakikatnya engkau adalah si miskin yang hanya mendapat rezeki dari Allah,bukan dari kerja dan usahamu itu.

Bagi yang digelar 'Khalifah' oleh Allah,kita adalah pembawa risalah Islam di atas muka bumi ini.Makmurkanlah bumi ini dengan syariat Islam bukan dengan maksiat yang jahanam. Tidakkah engkau mengetahui bahawa setiap generasi yang tidak mampu membawa risalah ini akan digantikan oleh Allah dengan generasi yang lebih baik,yang lebih cintakan Tuhannya. Jangan sesekali kita bersenang-senang dengan tugas yang diberi ini kerana kesenangan dan kerehatan itu hanya apabila kedua kaki kita sudah berada di dalam syurga.

Wahai pemuda harapan dunia! Ketahuilah akhirnya latihan ini akan menjadikan kita kuat dan tabah dalam kehidupan ini. Itulah yang diperlukan oleh seorang pemegang panji risalah Islam,kerana jalan yang ditempuhi bukanlah jalan yang mudah dan ringkas seperti seorang menteri berjalan di atas karpet merah.

Firman Allah S.W.T :

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ

Maksudnya : "Kalaulah apa yang kau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang dekat dan perjalanan yang ringkas nescaya mereka akan mengikutimu,tetapi ianya jauh (dan) mereka merasa susah"

Ayat ini jelas membuktikan bahawa jalan menuju Allah ini bukanlah suatu yang mudah dan boleh dipermainkan.Ketahuilah,telah berlalunya waktu tidur dan sekarang adalah untuk kita berjuang habis-habisan.

Saya akhiri tulisan saya ini dengan sebuah hadis sohih :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ 

Maksudnya : "Syurga itu dilingkungi oleh perkara-perkara yang dibenci dan neraka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang digemari syahwat."

Wallahu'alam.. 

Thursday, 20 February 2014

TARBIYAH DARI ALLAH

 
   

     Saya cukup tersentap dengan perbualan antara saya dengan senior saya malam tadi,beliau membasahi jiwa saya dengan kalam-kalam tarbawinya.Namun kebasahan jiwa sebenarnya perlu dipandu dengan kejernihan fikrah. Iman itu sifatnya naik dan menurun,kalau di Mesir ada empat musim, jiwa manusia pula hanya ada dua musim sahaja iaitu antara basah dan kering, antara sinaran hidayah dan kegelapan jahiliyah.
 
     Pesanan beliau kepada saya adalah,kita tidak perlu terlalu bergantung pada naqib atau murobbi untuk mentarbiyah diri kita kerana mereka hanyalah wasilah tarbiyah sedangkan yang mentarbiyah diri kita sebenarnya adalah Allah S.W.T. Beliau memahamkan saya lagi dengan analogi yang diceritakannya,iaitu bagaimana Allah mentarbiyah manusia.
 
     Analoginya begini,ada seorang pekerja buruh yang ditugaskan untuk melakukan kerjanya di sebuah bangunan yang tinggi dan dia ditempatkan di tingkat yang paling atas.Namun,menjadi suatu masalah apabila pekerja ini ingin mengambil sesuatu di bawah,tentulah letih dan sia-sia jika dia turun ke bawah semata-mata untuk mengambil barang tersebut.Maka apa yang dibuat oleh si pekerja buruh ini adalah dia membaling sekeping duit syiling dari atas bangunan kepada rakannya yang berada di bawah,lalu rakannya ternampak dan mengambil syiling tersebut,tapi malangnya dia tidak memandang ke atas. Lalu si pekerja buruh ini membaling lagi sekeping syiling dan perkara yang sama juga berlaku. Rakannya itu tidak langsung memandang ke atas,bahkan hanya mengutip syiling-syiling yang jatuh sahaja sehinggalah duit syiling si pekerja buruh ini habis. Maka ketika inilah si pekerja buruh itu melontarkan seketul batu ke bawah. Tup! Batu itu tepat mengenai kepala rakannya,barulah si rakannya ini memandang ke atas.

     Bayangkan posisi rakan kepada pekerja buruh itu adalah kita(manusia),dan pekerja buruh itu adalah Tuhan kita.Saya tidak berniat untuk menyamakan Allah dengan manusia sepertimana penganut kristian menyamakan Nabi Isa a.s dengan Allah S.W.T.Sangatlah berbeza yang dicipta dengan Yang Mencipta.Maha Suci Allah,Tiada yang setanding denganNya. Tetapi inilah caranya Allah mentarbiyah manusia yang sering lalai dalam kehidupannya. Ketikamana Allah melontarkan kepada kita berbagai-bagai nikmat,kita tidak langsung bersyukur,bahkan sombong untuk menghadapkan hati kita kepada Allah. Namun apabila kita dihempap oleh Allah hanya dengan satu ujian/dugaan,ketika ini barulah kita sedar akan kelemahan diri kita, ketika ini barulah hati kita hendak menoleh kepada Allah.
 
 
     Pesan seorang ustaz,kita ini jangan jadi seperti monyet.Ketika ia berada di atas pokok lalu dilanda dengan angin taufan dan ribut kencang ia berpegang kuat pada dahan pokok itu,tidak bergerak sedikitpun pautannya. Namun apabila dibelai dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa,genggamannya longgar lalu ia tertidur dan terjatuh menyembam bumi.

     Kebanyakannya dari kita, bila ditimpa bala baru hendak berpaut pada Allah, namun bila diberi nikmat pegangan kita jadi longgar dan terpisah dari jalan Allah.. Jauhilah tabiat ini! Kerana ia membenarkan teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet(takde kaitan). :-)

     Benarlah firman Allah yang berbunyi :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُون
Maksudnya : "Dan sungguh akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) . Mereka ibarat haiwan ternakan,bahkan lebih sesat(teruk) lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
 
     Ayat ini tersangatlah jelas dan tak perlu saya syarah dan tambah lagi..

     Apa yang saya cuba bawa adalah,dalam mengikuti tarbiyah tidak perlulah kita bergantung harap 100% pada naqib/murobbi kita dalam proses pentarbiyahan diri. Ini tidak bermaksud kita perlu menjauhi dan meninggalkan mereka,jauh sekali untuk menentang sebarang arahan dan permintaan mereka. Akan tetapi kita perlulah proaktif,jangan mengharapkan murobbi bagi taujihat baru nak sedar,jangan mengharapkan naqib bagi arahan baru nak gerak. Kita sendiri perlu baca bahan-bahan tarbiyah,kita sendiri perlu tadabbur Al-Quran,kita sendiri perlu mengisi masa kosong kita dengan projek-projek yang bermanfaat, kita sendiri perlu keluar berdakwah,kita sendiri perlu mencari ilmu di merata tempat.Kerana kita yakin dalam setiap perkara ini ada tarbiyah yang diselit oleh Allah.
 
     Dan akhirnya dengan kesibukan dan keletihan kita ini,ia akan membawa kita dekat dengan Allah.Kita akan lebih merasai nikmat duduk bersama naqib,ahli usrah dan sahabat-sahabat seperjuangan dalam program/aktiviti tarbawi,kita akan lebih merasai nikmat solat berjemaah,kita akan lebih merasai nikmat makan bersama sahabat serumah,kerana itulah waktu rehat bagi kita. Di luar dari waktu-waktu itu adalah masa untuk kita berjihad di jalan Allah.Saya akhiri tulisan saya kali ini dengan kata-kata Saidina Umar Al-Khattab : 
 
“ Jika bukan kerana tiga perkara ini, dunia ini tiada apa-apa nilai bagiku :

Pertama, keindahan berada di dalam majlis ilmu.

Kedua, dapatku letakkan dahiku ke tanah untuk sujud kepada Allah SWT

Ketiga, berjuang untuk jihad fisabilillah.”

     Wallahu'alam...