Seorang yang bergelar muslim sudah tentu hatinya beriman
kepada Allah, mustahil lidahnya tidak mengakui keesaan Allah dan kerasulan Nabi
Muhammad. Sudah pasti dia meyakini dengan risalah Baginda S.A.W. Maka, dengan
keimanan yang sebegini ia akan membawa seorang muslim itu untuk taat dan patuh
kepada segala perintah Allah dan Rasulullah dengan penuh kerelaan hati dan
tanpa rasa berat dan malas. Inilah aqidah seorang muslim, inilah juga kepercayaan
masyarakat melayu islam di Tanah Melayu suatu masa dahulu.
Namun masa pantas berlalu, zaman semakin maju,
musuh-musuh Islam mula melancarkan serangan ke daerah melayu kerana dilihatnya
orang-orang melayu ini amat kuat berpegang dengan agama Islam, perkara ini menjadikan
mereka tidak senang duduk. Benarlah firman Allah S.W.T :
“Dan orang-orang yahudi dan nasrani
(kristian) tidak akan sesekali redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikut
agama mereka” –Al Baqarah, ayat 120-
Hasilnya, pada hari ini kita boleh
lihat beberapa kelompok umat Islam di Malaysia yang aqidahnya sudah terpesong.
Orang-orang melayu islam sudah ada yang menganut syiah, ada yang menyembah Ayah
Pin, ada yang mengaku nabi dan bermacam-macam lagi projek pemesongan aqidah.
Bagi sesiapa yang hatinya suci dan jiwanya sensitif, perkara ini merupakan satu
kerisauan yang amat besar baginya kerana ia bakal mengundang bala yang besar
kepada umat ini. Sebuah bangsa yang dahulunya menjadi pendokong kuat kepada
kerajaan Islam Uthmaniyyah kini mula tunduk pada musuh-musuhnya, sudah tentu
ada balasannya jika berterusan begini.
Itulah sebahagian masalah aqidah
yang menimpa umat melayu islam di Malaysia ketika ini, aqidah yang jelas
terpesong dan sesat. Namun di sana, ada beberapa masalah aqidah yang tidaklah membawa
kepada kekafiran namun ia menjadikan aqidah seseorang itu sedikit cacat. Masalah
ini berlaku apabila seseorang muslim itu tidak faham prinsip Islam dengan
sebenar-benarnya, sedangkan umat islam dahulu sangat mengambil berat tentang
perkara ini. Itulah wala’ dan bara’ yang menjadi konsep aqidah yang penting
dalam Islam.
Punca berlakunya fenomena
kafir-mengkafirkan dalam kalangan orang-orang Islam di Malaysia adalah kerana
mereka tidak faham tentang konsep wala’ dan bara’ ini. Mereka sangka semua orang
Islam yang tidak bersetuju dengan mereka adalah kafir kerana mereka adalah
pembawa risalah Islam yang sebenar. Mereka sangka mereka boleh berkawan dengan
orang kafir sesuka hati tanpa menjaga had dan batas-batas syariat dalam Islam
sehingga sanggup membuat satu pakatan sesama mereka hanya untuk menjatuhkan
orang-orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka sangat berkeras dan
tidak bertolak ansur sesama muslim sedang mereka berlemah lembut dengan
orang-orang kafir dengan alasan ingin berdakwah. Sifat-sifat sebegini
bertentangan dengan ayat Allah S.W.T dalam surah Al-Fath, ayat 29 :
“Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan
orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir serta bersikap kasih sayang sesama mereka (umat Islam)..”
Maka di sini saya berikan sedikit
penjelasan tentang konsep wala’ dan bara’ agar kita faham dan jelas bagaimana
untuk memberi respon terhadap berbagai jenis manusia yang ada di muka bumi ini.
Wala’ bermaksud dekat, kasih-sayang, memberi pertolongan
dan mengikut. Ia bertentangan dengan sifat permusuhan. Sifat wala’ ini hanyalah
diberi kepada Allah, Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman. Firman Allah
S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 55 :
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, seta
orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang
mereka tunduk (kepada Allah).”
Maka wajib bagi
kita untuk mendekati, berkasih sayang serta menolong orang-orang yang beriman kerana
ini adalah aqidah seorang muslim. Jika ada orang beriman yang membuat kesalahan
maka wajib untuk kita tegur mereka atas dasar kasih sayang dan ingin menolong
mereka dari diazab di akhirat.
Dari Anas r.a
beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda : “Tolonglah saudaramu
yang zalim dan dizalimi”. Mereka bertanya : “Wahai Rasulullah, kami faham
bagaimana menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong
orang yang zalim?”. Baginda bersabda : “Engkau pegang tangannya(agar tidak
berbuat zalim).” –Hadis Sohih, Riwayat Bukhari-
Manakala Bara’ pula bermaksud marah, menjauhi, berlepas
diri. Sifat ini pula hanya diberikan kepada orang-orang yang mensyirikkan
Allah, orang-orang kafir serta munafiq (berpura-pura Islam) kerana mereka
inilah orang-orang yang menentang Allah, Rasul-Nya, para sahabat serta
orang-orang yang beriman. Firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran, ayat 28 :
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir sebagai teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”
Maka jelas di
sini bahawa kita perlu berlepas diri serta merasa marah terhadap perbuatan
syirik mereka. Kita perlu menjauhi mereka, tetapi ini tidak bermaksud kita
tidak boleh berkawan dengan mereka. Maksudnya di sini adalah kita tidak boleh
terlalu rapat dengan orang-orang yang menentang risalah Allah ini sehingga kita
cair hati dengan mereka lalu mengakibatkan kita menjauhi orang-orang yang
beriman. Ini hukumnya haram, kerana jelas terdapat dalil dari Al-Quran yang
melarang.
Syeikh Ibn Uthaimin pula menafsirkan bara’ ini dengan
maksud kita berlepas diri dari segala perkara yang Allah berlepas diri darinya.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 4 :
“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang
baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka
berkata kepada kaum mereka:"Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan
dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah
nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya.”
Firman Allah lagi dalam surah Al-Hujurat, ayat 7 :
“Tetapi
Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman
itu indah dalam hatimu serta
menjadikan kamu benci kepada kekefiran, kefasikan
dan kedurhakaan.Mereka itulah
orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.”
Cukup
jelas dalil-dalil dari Al-Quran tentang konsep aqidah ini. Inilah aqidah serta
sifat seorang muslim yang sepatutnya tersemat dalam diri setiap orang Islam di
Malaysia. Inilah yang Rasulullah S.A.W ajarkan kepada para sahabat dan mereka
mempraktikkan ajaran ini sehingga ianya dicatatkan di dalam ayat Al-Quran,
dalam surah Al-Fath, ayat 29 :
“Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan
orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir serta bersikap kasih sayang sesama mereka (umat Islam)..”
Ayat yang mudah
difahami, contoh dari para sahabat yang tercatat di dalam Al-Quran. Apakah kita
mampu menolaknya?
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment