Artikel kali ini agak ganas sedikit tajuknya kerana di sana ada suatu mesej yang agak serius yang perlu saya sampaikan..
Waktu saya sekolah menengah dulu saya selalu dengar orang
sebut perkataan “Pergi matilah kau!”, dan ianya akan terlafaz bila saya cari
pasal dengan orang. Saya percaya semua dari kita pernah dengar perkataan ni dan
saya tak tahu ada yang lebih kasar dari ini atau tidak. Apapun, saya menyampah
dengan orang yang cakap macam tu sebab bukan kerja dia nak tentukan hidup mati
seorang manusia.
Namun, pada suatu hari saya terbaca sepotong ayat Al-Quran
yang mengingatkan saya akan perkataan yang saya benci tersebut, tetapi ianya
membuatkan saya tersentap dan gerun dengannya kerana ia bukanlah kalam manusia
yang lemah bahkan ia adalah kalam Tuhan yang berhak mencabut nyawa kita
bila-bila masa. Pelik? Terkejut? Tak percaya? Baca ni :
"ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون"
“Dan
janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”
Kalau nak diterjemahkan dalam bahasa kita bunyinya lebih
kurang macam ni “Matilah engkau dalam keadaan Islam!”
Percaya atau tidak, ianya adalah sebuah arahan dari Allah
S.W.T supaya kita mati dalam Islam, agama Allah yang tertulis di dalam Al-Quran
bahawa ia adalah satu-satunya agama yang diterima di sisiNya dan diredhaiNya.
Firman Allah S.W.T :
"إن الدين عند الله الإسلام"
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah
ialah Islam”
Namun, perlu kita sedari bahawa ianya adalah sebuah arahan yang kita
tidak mampu untuk melakukannya secara direct seperti kita melaksanakan arahan
solat,puasa zakat dan lain-lain, kerana hidup mati bukan di tangan kita, maka
bagaimana caranya untuk melaksanakan perintah ini? Bagaimana caranya untuk mati
dalam Islam?
Di sebalik kelemahan manusia ini Allah menjadikan jalan bagi kita untuk
sampai kepada perkara tersebut. Yang pertama sekali, kita sendiri perlu pilih
untuk mati dalam Islam, tanamkanlah impian dan perasaan cinta untuk mati di
dalamnya. Sabda Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a :
«مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ
نَفْسَهُ بِغَزْوٍ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةِ نِفَاقٍ»
Maksudnya : “Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak
mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan." -
Riwayat Bukhari & Muslim -
Yang kedua, wasilah yang tidak boleh dipisahkan dari setiap urusan
kehidupan kita. Berdoalah, mintalah dan merayulah kepada Allah supaya Dia
mematikan kita dalam agama yang diredhaiNya ini. Mana mungkin Allah tidak
mendengar suara syahdu kita dalam sujud dan tahajjud di tengah malam, bukankah
Dia Tuhan Yang Maha Mendengar? Bahkan Dia mengetahui apa yang ada dalam hati
kita tanpa kita perlu menzahirkannya. Perkara ini juga telah diajarkan kepada
kita di dalam Al-Quran ketika Nabi Yusuf dikurniakan kuasa memerintah di bumi
Mesir dan diajarkan kepadanya ilmu tafsiran mimpi, lalu baginda berdoa :
"رب قد ءاتيتني من الملك وعلمتني من تأويل الأحاديث فاطر
السماوات والأرض أنت وليي في الدنيا والآخرة توفني مسلما وألحقني بالصالحين"
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian
dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran
mimipi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau Penguasa dan
Pelindungku di dunia dan di akhirat, matikanlah aku dalam keadaan Islam dan
hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”
Lihatlah bagaimana seorang nabi yang sudah pasti mendapat syurga masih
berdoa kepada Allah supaya dimatikannya dalam keadaan Islam bahkan baginda memohon
kepada Allah supaya dimasukkannya bersama dengan orang-orang yang soleh pada
hari akhirat kelak. Maka apakah alasan kita untuk tidak berdoa kepada Allah
S.W.T ? Apakah kita lebih dijamin syurga berbanding nabi Yusuf? Jangan
melangkah dengan jiwa yang sombong sedang hati masih banyak lompong, nanti
menyesal sesudah pulang ke ‘kampung’.
Namun, hakikatnya tidak cukup sekadar berdoa sahaja untuk memenuhi
cita-cita tertinggi ini, bahkan kita perlu bersungguh-sungguh dalam menjaga dan
mempertahankan Islam yang sudah kita miliki. Tidak cukup sekadar itu! Kita
perlu melebarkan cengkaman iman dalam hati kita, tambahkanlah keyakinan dalam hati kita. Ambillah bekalan dari Al-Quran sepuas-puasnya,
sesungguhnya sebaik-baik bekalan menuju akhirat adalah Al-Quran. Tetapi
sebaik-baik pemberi hidayah (penjelasan/pentafsiran) adalah Rasulullah S.A.W. ,
kita tidak akan mampu memahami Al-Quran tanpa tunjuk ajar baginda, maka
lazimilah hadis-hadis baginda dan renungilah setiap sabda baginda, pasti ada
hikmah di sana.
Inilah sebahagian usaha yang mampu membawa kepada cita-cita tertinggi
kita. Mana mungkin anak panah mampu menyusur tanpa ada yang memegang busur. Perlu
ada usaha dalam setiap impian, kerana impian bukan angan-angan yang hanya
bermain di dalam fikiran.
Wallahu’alam
*Nantikan siri kematian yang lebih mulia.
No comments:
Post a Comment